BAGHDAD – Pemimpin politik dan militan Iraq mengutuk kunjungan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke pangkalan tentera udara AS di negara itu menyifatkannya sebagai mencabul kedaulatan Iraq.
Iraq turut mendakwa perjumpaan antara Trump dan Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi dibatalkan di saat akhir akibat tidak bersetuju dengan lokasi pertemuan.
Pemimpin parlimen blok Islah, Sabah al Saadi menyeru satu sidang parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan pencerobohan melulu ke atas kedaulatan Iraq sekali gus menghentikan tindakan agresif Trump yang sewajarnya sedar akan hadnya.
Pendudukan AS di Iraq sudah berakhir,” katanya.
Ahli Parlimen Iraq memberitahu Reuters, Trump meminta untuk bertemu di pangkalan tentera Ain al-Asad, namun ditolak Abdel Mahdi.
Difahamkan, lawatan Trump dibuat ketika ketegangan semakin memuncak di antara Washington dan Tehran.
Trump turut dikatakan mengambil kesempatan ke atas lawatan mengejut pertama beliau ke zon konflik di Iraq semalam untuk mempertahankan keputusan AS berundur dari Syria dan Afghanistan sekali gus mengisytiharkan berakhirnya peranan AS sebagai ‘polis dunia’. – Reuters