SINIS… Kebelakangan ini netizen tempatan ‘terhibur’ dengan gelagat ramai menteri Pakatan Harapan (PH) cabar sesama mereka sendiri untuk letak jawatan atas pelbagai isu panas tertentu.
Justeru, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi melontarkan persoalan berhubung kemelut dalam kalangan anggota Kabibet PH apabila tular trend menteri menyuruh menteri lain letak jawatan.
Soalnya, apakah ini ‘game’ Tun Dr. Mahathir Mohamad yang suruh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya desak P. Waytha Moorthy letak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri?
“Apabila ada menteri suruh menteri lain pula letak jawatan, mesti Syed Saddiq perasan kononnya dia lebih hebat dan berprestasi tinggi berbanding Waytha Moorthy yang terpalit isu rusuhan kuil Hindu. Ini memang pelik sikit,
“Apatah lagi Syed Saddiq dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh bertindak suruh menteri dari Hindraf untuk segera letak jawatan,” kata Mohd. Puad melalui kenyataan dalam akaun sosial Facebook beliau.
Katanya, kalau menteri boleh suruh menteri letak jawatan, itu bermakna dia tentu menuduh Perdana Menteri sendiri tidak pandai kerana melantik orang yang tidak pandai dan ‘half past six’ untuk dijadikan sebagai menteri.
“Lagi pun ‘orang kuat’ Mahathir sendiri, Datuk A. Kadir Jasin juga mahu Waytha Moorthy letak jawatan. Sebab itu, Syed Saddiq berani kata dia tidak takut sekiranya dikenakan apa-apa tindakan atas desakannya itu.
“Pasti dia dapat ‘lampu hijau’ daripada Mahathir. Mungkin Waytha Moorthy akan kata, kenapa dia sahaja yang dipersalahkan. Pada beliau, polis yang salah kerana konon gagal kawal rusuhan di kuil berkenaan.
“Oleh kerana polis di bawah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, apakah Waytha berani desak Muhyiddin juga letak jawatan. Games Mahathir masuk fasa III – tiada siapa yang selamat.” – Agensi/Mynewshub.TV