KUBANG PASU – Seorang lelaki ditemui mati di tempat duduk kerusi pemandu akibat terhidu gas karbon monoksida, dipercayai membunuh diri dengan menyambung paip getah dari saluran ekzos ke dalam kereta, di sebuah ladang kelapa sawit di Changlun, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.23 malam itu, anggota polis Balai Polis Changlun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memberitahu mengenai mangsa yang disyaki meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata sebaik menerima maklumat itu, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat penyambungan paip getah dari salur ekzos ke dalam but kereta menyebabkan asap masuk ke ruang dalam dan mangsa meninggal dunia.
“Siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi hari ini. – BH ONLINE