JOHOR BAHRU – Seorang lelaki rentung manakala seorang lagi mangsa melecur 95 peratus dalam satu kebakaran di sebuah kilang memproses dan membuat makanan di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin, di sini pagi tadi.
Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Ahmad Murad Saat berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kilang makanan membuat dim sum itu pada 10.23 pagi.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang rentung itu merupakan pemandu lori yang membawa muatan minyak diesel yang ketika itu sedang dalam proses memindahkan bahan api ke dalam tangki di kilang berkenaan.
“Siasatan awal kebakaran berpunca daripada percikan api kerana terdapat kebocoran minyak semasa proses pindah minyak itu, namun kami masih lakukan siasatan dan kebakaran kilang ini hanya 30 peratus sahaja.
“Kami juga menghadapi masalah untuk padam kebakaran kerana pili bomba berhampiran kilang ini telah disimen menyebabkan bomba terpaksa mengambil air dari pili bomba yang lain,” katanya.
Namun, Ahmad Murat menolak sebarang unsur khianat dan jenayah yang menjadi punca kepada kebakaran di kilang berkenaan.
Tambahnya, lelaki melecur berusia 54 tahun itu yang merupakan pemilik kilang berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd Afzanizam Yahaya ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian kebakaran itu. – BERNAMA