LUMUT – Seorang buruh warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam lubang lif dari tingkat tiga sebuah pangsapuri yang sedang dalam pembinaan, di Seri Manjung di sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Zabudin Mat Rose berkata mangsa berumur 32 tahun itu ditemui tidak bergerak dan dalam keadaan terlentang di dalam lubang di tingkat paling bawah pangsapuri berkenaan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.40 petang sebelum lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.
“Menurut rakan mangsa, mangsa terjatuh dari tingkat tiga dan mayatnya berada di dalam sebuah lubang kira-kira tiga meter dari tingkat paling bawah pangsapuri.
Kita kemudiannya mengeluarkan mangsa menggunakan tali sebelum lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zabudin berkata pemeriksaan lanjut mendapati ruangan lif tersebut masih dalam pembinaan dan terdapat lif sementara berada di luar pangsapuri yang mempunyai 35 tingkat itu untuk kegunaan pekerja.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 5.17 petang tadi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA