ALOR SETAR – Situasi keluar parti dalam kalangan pimpinan UMNO ketika ini tidak menggugat kekuatan parti itu sebaliknya dilihat mampu memperkukuh parti itu pada masa depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana keadaan itu disifatkan sebagai proses pemutihan kepada parti itu dengan hanya meninggalkan anggota yang benar-benar setia kepada perjuangan UMNO.
“Bagi pihak kami UMNO negeri Kedah melihat bahawa lompatan ini (keluar parti) merupakan proses pemutihan kepada UMNO. Dan saya telah menghubungi Ketua UMNO Bahagian (Langkawi) (Datuk Ir Nawawi Ahmad), dan UMNO Bahagian (Langkawi) tetap utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam Isnin lepas di Institut Jantung Negara selepas dipercayai dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lepas, di kediaman mereka di Kampung Tebengau dekat sini hari ini.
Semalam, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abd Hamid bersama 30 pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian pulau itu mengumumkan keluar parti.
Jamil Khir yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sehubungan itu tidak timbul isu pembubaran UMNO Bahagian itu seperti khabar angin yang tersebar di media sosial pada masa ini. – BERNAMA