SERDANG – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan menganjurkan program larian ‘Pine Run’ sebagai acara tahunan tetap bagi promosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, sekali gus dapat beri pendedahan mengenai industri nanas tempatan kepada para peserta.
Ketua pengarahnya Datuk Mohd Anim Hosnan berkata lokasi program itu akan ditetapkan sama ada di Laman Nanas, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan Stesen Nanas Alor Bukit Pontian yang bertujuan mempromosi lokasi berikut sebagai destinasi pelancongan di Malaysia.
“Ia juga bertepatan dengan kelebihan buah nanas sebagai buah ‘seribu satu khasiat’ yang membawa banyak kebaikan kepada manusia yang mengamalkan pemakanan buah itu,” katanya kepada Bernama selepas menyertai program Pine Run sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018, di Laman Nanas, MAEPS, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar merasmikan upacara pelepasan Pine Run MAHA 2018 yang disertai 600 peserta.
Program larian itu bertemakan “Sayangi Jantung Anda” dengan jarak larian sejauh lima kilometer di sekitar kawasan MAEPS, terbuka kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita, serta menawarkan hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan, medal dan baju bagi peserta pertama hingga kelima.
Sementara itu, MAHA 2018 telah memasuki hari ke-10 dan akan berakhir esok, menyediakan penjualan 501 menu juadah popular dari semua negeri, produk asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar yang dapat dinikmati oleh pengunjung ekspo. – BERNAMA