KLANG – Seramai 104 asnaf fakir dan miskin hari ini menerima bantuan pembelian rumah bernilai antara RM45,000 hingga RM50,000 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) membabitkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM5 juta.
Ketua Pegawai Penyelaras LZS Abdul Basith Hamid berkata bantuan itu bagi menyantuni golongan berkenaan khususnya mereka yang sebelum ini hanya mampu menyewa untuk tempoh lama serta mempunyai masalah dengan pinjaman bank.
āBerdasarkan kajian kami, golongan miskin bandar ketika ini terpaksa menyewa rumah antara RM800 ke RM1,000 sebulan, dengan pendapatan bulanan yang tidak seberapa dan selepas bayar sewa berapa sahajalah yang tinggal untuk perbelanjaan harian.
āKebanyakan asnaf yang tinggal di bandar juga mesti ada tunggakan sewa serta tunggakan bank dan perkara itu boleh menjejaskan emosi mereka, jadi pemberian bantuan perumahan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan beban mereka,ā katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pembelian Rumah Kos Rendah dan Bantuan Modal Perikanan Bagi Asnaf Fakir dan Miskin LZS, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datuk Mohamad Yasid Bidin.
Mengulas lanjut, Abdul Basith berkata bantuan pembelian rumah dengan kerjasama MPK dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu melibatkan unit flat kos rendah di daerah Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak.
Sementara itu, Mohamad Yasid berkata menerusi kerjasama tersebut, MPK berperanan menjual rumah kepada LZS dengan harga yang rendah.
āKami menjual rumah kepada LZS dengan diskaun yang banyak iaitu dari harga asal rumah RM75,000 diberi diskaun menjadi RM45,000. LZS juga membantu membayar sewa dan cukai tertunggak penerima terbabit yang selama ini ditanggung oleh MPK,ā katanya.
Pada majlis itu, LZS turut menyampaikan bantuan modal perikanan berjumlah RM756,000 kepada 252 asnaf dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor.
Menurut Abdul Basith, daripada jumlah itu setiap asnaf menerima bantuan modal perikanan berupa peralatan perikanan bernilai RM3,000 seorang. – BERNAMA