COLOMBO – Mahkamah Rayuan Sri Lanka mengeluarkan perintah interim bagi menghalang Mahinda Rajapaksa menjalankan tugas Perdana Menteri dan anggota partinya membentuk kerajaan sehingga kes itu didengar pada 12 Disember.
Perintah dikeluarkan selepas 122 anggota parlimen memfailkan petisyen, lapor Xinhua.
Mahkamah turut mengeluarkan notis kepada Rajapaksa dan 49 menteri lain untuk hadir pada hari sebutan kes, memetik media tempatan.
Sri Lanka dilanda masalah politik sejak Presiden Maithripala Sirisena memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan melantik bekas presiden Mahinda Rajapaksa menggantikan beliau. Sirisena turut mengumumkan Rajapaksa mengetuai pentadbiran kerajaan sementara.
Sejak itu dua usul undi tidak percaya terhadap Rajapaksa dan kerajaannya dikemukakan di Parlimen.
Namun keputusan itu ditolak Presiden Sirisena dengan mengatakan ia tidak dijalankan secara sah dan meminta undian semula diadakan pada 5 Dis.
Rajapaksa dan partinya memboikot sesi Parlimen sejak bulan lalu kerana mendakwa Speaker Karu Jayasuriya memihak kepada Ranil Wickremesinghe dan partinya.
Tindakan itu akan diteruskan sehingga mereka diiktiraf sebagai kerajaan. – BERNAMA