KUCHING – Majikan, termasuk kontraktor dan subkontraktor boleh dikenakan denda atau dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati mengabaikan aspek keselamatan kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.
Katanya apek-aspek keselamatan perlu dipatuh mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diiingini.
“Kemalangan maut dan kecederaan di tempat kerja boleh dicegah jika semua kontraktor mengambil langkah-langkah wajar serta mempunyai pelan pengurusan keselamatan di semua tempat kerja mereka.
“Sementara menunggu laporan terperinci kejadian tersebut, saya ingin menekankan bahawa ianya merupakan tanggungjawab majikan untuk menyediakan latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE) manakala untuk pekerja, menjadi tanggungjawab mereka untuk memakainya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Petang semalam, satu letupan dipercayai akibat kebocoran gas di premis makanan Nene Chicken di CityOne Megamall, Kuching, Sarawak telah mengorbankan tiga nyawa manakala 44 mangsa cedera.
Beliau berkata pekerja juga perlu menyedari hak mereka mendapatkan PPE yang boleh membantu menyelamatkan nyawa terutamanya di tempat kerja berisiko tinggi.
Majikan dan kontraktor yang gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 OSHA 1994, yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, katanya. – BERNAMA