HEBAT… Meskipun meriah bagaikan final, aksi separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.
Tuan rumah malah gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan lebih 80,000 penyokong sendiri yang hadir dan memenuhi segenap ruang stadium utama sehingga dianggap sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya.
Namun, ia turut membuktikan kehebatan anak buah Tan Cheng Hoe mampu kekang ‘pesta gol’ pelawat sebagai bekalan sebelum bertandang ke Stadium Rajamangala, di Bangkok pada Rabu ini untuk aksi separuh akhir kedua.
Secara statistik, Malaysia menguasai 63 peratus perlawanan, bahkan berjaya hasil 23 percubaan gol berbanding Thailand hanya lima, termasuk Safawi Rasid pada minit pertama masa kecederaan selepas habis tempoh sebenar.
Tempoh 93 minit perlawanan itu menyaksikan stadium bergema sorakan padu penyokong sejak jam 7 malam lagi terutama di kem Ultras Malaya yang tidak henti-henti bersorak selain menyanyikan lagu buat pasukan kebangsaan.
Suasana makin gamat sebaik perlawanan berlangsung jam 8.45 malam sekali gus mengulangi suasana yang sama ketika Malaysia melakar sejarah apabila berjaya menewaskan Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A, Sabtu lalu.
Selain bendera Jalur Gemilang, kain rentang ‘Jangan Gentar Kita Lawan’ dan ‘Menang Sampai Juara, Kitalah Raja’ antara yang kelihatan di sekitar stadium berkenaan sekali gus menaikkan lagi moral pemain Harimau Malaya.
Kumpulan penyokong pelawat Gajah Perang dianggarkan berjumlah hanya kira-kira 2,000 orang tidak ketinggalan dengan menyerikan suasana di sudut kecil Bukit Jalil itu selain turut membentangkan bendera gergasi Thailand.
Suasana gamat seakan-akan aksi ulangan final kedua Piala AFF Suzuki empat tahun lalu berkesudahan Malaysia menang 3-2. Namun, kekalahan 0-2 pada aksi pertama di Bangkok pula menyaksikan Harimau Malaya kempunan.
Malaysia terpaksa lepas trofi kejuaraan kepada Thailand menerusi agregat 4-3. Justeru, pada aksi kali ini Malaysia memerlukan kemenangan besar sebagai bekalan selesa untuk mara ke peringkat akhir. – Agensi/Mynewshub.TV
MALAYSIA: Farizal Marlias, Syahmi Safari, Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Syazwan Andik (Nazirul Naim 72’), Mohamadou Sumareh (Ahmad Hazwan Bakri 64’), Syamer Kutty Abba, Akram Mahinan, Safawi Rasid, Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha (Shahrel Fikri Fauzi 81’).
THAILAND: Chatchai Budprom, Mika Chunuonsee, Chalermpong Kerdkaew, Pansa Hemviboon, Korrakod Wiriyaudomsiri, Thitipan Puangchan, Tanaboon Kesarat, Nurul Sriyankem (Pakorn Prempak 59’), Sanrawat Dechmitr, Supachai Jaided (Pokklaw Anan 46’), Adisak Kraisorn (Chananan Pombuppha 90’).