HULU TERENGGANU – Seorang warga emas Halimah Yusof, 83, di Kampung Kepah di sini bersyukur kerana beliau telahpun menjual semua ayam dan itik miliknya sebelum banjir melanda kawasannya bagi mengelakkan beliau kerugian seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Wan dah jual siap-siap ternakan ayam itik milik wan sebelum banjir untuk elak kerugian macam sebelum ini.
“Lagi pun wan dah tua, dok rok (tak kuat) nak cara (jaga) ke ayam itik, ayam pun sekarang ada harga, jadi wan jual semua..doh hari ini pun banjir..syukur ayam itik wan tak mati gitu jer,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan orang ramai kampung itu malam ini.
Halimah yang turut ditemani anaknya, Che Wan Esah Wan Nong, 37, di PPS itu pada mulanya enggan berpindah kerana bimbang demamnya melarat jika terkena air banjir.
“Wan kata gitu ke tok penghulu, tapi dia hambat (paksa) wan dua kali suruh pindoh jugok, yer (dia) kata untuk keselamatan wan dan anak jugok, nanti air koho (makin) naik, susah orang nak mari ambik kita di umoh (rumah).
“Bila dia hambat wan tu, kita pun kemas barang serba sedikitlah nak bawok ke sini, Alhamdulillah walaupun bukan rumah sendiri tapi makan semua cukup, buleh sangat (selesa) doh ni,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Semah Bidin, 52, berkata sebaik sahaja rumahnya mula dinaiki air pukul 4 pagi tadi dia terus bergegas menyelamatkan barang-barang dan berpindah ke PPS kerana bimbang air yang semakin naik.
“Saya pernah merasai pengalaman air naik sampai ke pinggang dan terputus hubungan…jadi saya tak mahu ia berulang lagi. Sebab itu saya terus berpindah walaupun masa tu air tak tinggi mana.
“Eloklah jika ada penduduk kampung juga mengambil tindakan yang sama, cepat bertindak dan berpindah sebab nanti kalau air dah naik teruk bimbang orang dok dang (tak sempat) nak cara ke (jaga) kita dah,” kata suri rumah itu lagi.
Pengerusi Majlis Pengurusan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Kepah, Mohd Nasrun Abdullah mengakui agak sukar sebenarnya memujuk orang kampung untuk berpindah, tetapi jika kena cara, mereka akan akur dengan arahan terutama daripada pihak agensi keselamatan.
“Sebab kebanyakan daripada mereka sudah biasa menghadapi situasi banjir saban tahun, jadi mereka beri pelbagai alasan untuk tidak pindah…sebenarnya ia boleh mendatangkan pelbagai risiko termasuk mengancam keselamatan nyawa mereka sendiri.
“Sehubungan dengan itu saya berharap semua pihak terutama mangsa banjir beri kerjasama agar proses pemindahan mereka ke PPS berjalan lancar sekaligus dapat mengelak pelbagai situasi sulit jika banjir semakin meruncing,” katanya. – BERNAMA