KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu.
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.
“Justeru demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana persefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam usaha transformasi dan pembinaan semula.
“Apabila ada kesesuaian dan persamaan prinsip dan visi, maka perikatan politik boleh dibentuk semula,” katanya pada sidang media sejurus tamat perhimpunan agung parti di Wisma MCA, hari ini.
Ketika ditanya bagaimana pembubaran mahu dilakukan sama ada dengan mengadakan mesyuarat bersama BN, beliau secara ringkas berkata “kami tahu apa yang perlu dilakukan”.
Mengulas lanjut, Wee berkata ini bukannya masa untuk menuding juri dan perlu menghayati perkongsian yang sekian lama wujud antara parti komponen.
“Dalam konteks ini, setelah mendengar pandangan daripada perwakilan yang berbahas (27 orang), 12 daripadanya adalah orang muda yang telah menghuraikan secara terperinci apa kebaikan, keburukan dan rasional kita membuat keputusan ini.
“Mereka juga menyentuh mengenai percaturan masa depan parti dan tidak bertindak mengikut emosi. Jadi setelah mengambil kira pandangan orang muda termasuk veteran politik yang mengambil bahagian dalam perbahasan, maka resolusi ini telah diluluskan. Perlu diingat ini bukan resolusi Wee Ka Siong, ini resolusi AGM,” katanya.
Wee turut berkata kesemua yang hadir pada perhimpunan mengangkat tangan tanda persetujuan untuk meluluskan kesemua resolusi kecuali seorang sahaja yang tidak bersetuju.
Resolusi yang diluluskan antara lain menyeru kerajaan merangka dasar pekerja asing yang komprehensif melalui kolaborasi dan perbincangan merentasi kementerian bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sumber manusia dan keselamatan sosial.
Ia turut menyokong inisiatif pembinaan bersama ‘Belt and Road’ dan menyeru kerajaan membaiki hubungan Malaysia dan China demi manfaat ekonomi. – BERNAMA