PUTRAJAYA – Tindakan afirmatif kerajaan untuk membantu Melayu di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya jika orang Melayu sendiri tidak mahu mengubah sikap dan sistem nilai mereka bagi membolehkan mereka berjaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan banyak dasar dan sokongan untuk orang Melayu menerusi tindakan afirmatif yang diterjemahkan melalui peluang dan bantuan kepada mereka namun mereka tetap Melayu yang sama yang gagal sebelum ini.
“Ini kerana anda tidak boleh ubah sikap seseorang. Saya tidak suka mengatakan sedemikian tentang kaum saya sendiri namun saya terpaksa katakan. Saya terpaksa beritahu mereka yang anda salah.
“Tindakan afirmatif adalah tentang sokongan tetapi mengubah sikap merupakan sesuatu yang perlu kita beri perhatian. Kami sedar tindakan afirmatif semata-mata tidak dapat membuatkan orang Melayu berjaya.
“Paling penting ialah sikap dan sistem nilai mereka. Sistem nilai mereka salah dan sistem nilai yang mereka ada ini tidak akan membawa kejayaan kepada mereka,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih, di pejabatnya di sini.
Mahathir berkata adalah penting untuk Melayu sendiri menukar nilai hidup yang dipegang dan diamalkan, terutamanya yang tidak sepadan dengan kejayaan.
“Kalau tak kerja kita tak dapat duit, kalau tak usaha tak maju. Bila saya kata orang Melayu malas, orang marah saya tapi ini kebenaran. Kalau kita tak nak kerja, orang lain akan datang bekerja. Akhirnya orang asing yang memiliki negara ini. Sekarang sudah ada tujuh juta orang (pekerja warga) asing di Malaysia,” katanya.
Mahathir berkata nilai yang terbaik ialah nilai-nilai Islam yang menganjurkan banyak perkara baik namun masih ramai tidak mengamalkannya.
“Sebagai contoh, anda (orang Islam) dilarang memecahbelahkan sesama orang Islam, namun sesetengah orang, disebabkan politik, memecahbelahkan sesama Islam… panggil orang Islam ini bukan Islam, hanya kami sahaja yang Islam dan sebagainya. Kita telah berpecah belah… ini dilarang dalam Islam.
“(Semua orang Islam) adalah bersaudara (namun) kita tidak layan mereka sebagai saudara. Dia daripada parti itu, anak gadisnya tidak boleh berkahwin dengan anak saya. Perkara sedemikian tidak bersifat Islam. Kita mahu mengajar mereka tentang nilai-nilai Islam. Saya yakin jika mereka berpegang pada nilai-nilai Islam mereka akan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata beliau berharap orang Melayu tidak akan bergantung terlalu lama kepada kerajaan atau “tongkat” untuk berjaya.
“Saya sentiasa mengkaji sikap manusia… yang membuatkan mereka berjaya atau gagal adalah budaya dan sistem nilai mereka. Kaum Cina berjaya walaupun tanpa sebarang bantuan,” katanya.
Mahathir berkata bagi orang Melayu, mereka bukan sahaja perlu tahu tentang agama mereka tetapi juga perlu mempelajari perkara lain seperti matematik, sains, geografi dan sejarah, dan beliau menegaskan pembelajaran matematik serta sains harus dilakukan dalam bahasa Inggeris.
“Saya telah berbincang dengan mereka yang dalam proses mengubah dasar pendidikan (negara) dan menekankan bahawa sekolah kebangsaan sudah menjadi sekolah agama… itu yang berlaku. Orang Cina dan India tidak mahu ke sekolah kebangsaan, (ini kerana) empat waktu setiap hari mereka mengajar tentang Islam, memang bagus namun takkanlah anda hanya mahu Melayu tahu tentang Islam sahaja dan tidak perkara-perkara lain,” katanya. – BERNAMA