PUTRAJAYA, 19 (Bernama) — Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai esok.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata ini adalah lawatan Kyung-wha yang pertama ke Malaysia sejak pelantikannya sebagai menteri luar pada 18 Jun 2017.
Semasa lawatan itu, Kyung-wha dijadual mengadakan mesyuarat bilateral dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk Lawatan Negara Presiden Moon Jae-in ke Malaysia pada 2019 dan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia – Korea Selatan, pada tahun 2020,” katanya.
Wisma Putra berkata Kyung-wha juga dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu kontemporari serantau dan antarabangsa yang punya kepentingan bersama.
Wisma Putra berkata lawatan Kyung-wha dijangka memberi dorongan baharu terhadap perhubungan bilateral yang kukuh yang telah berkembang antara Malaysia dan Korea Selatan sejak 23 Feb, 1960.
“Korea Selatan bukan sahaja rakan perdagangan penting buat Malaysia, tetapi juga negara utama bagi pelaburan langsung asing (FDI) dan ketibaan pelancong,” katanya..
Korea Selatan merupakan rakan dagang Malaysia kelapan terbesar dan pelabur asing ke-13 terbesar pada 2017.
Wisma Putra berkata perdagangan bilateral antara Malaysia dan Korea Selatan meningkat sebanyak 13.6 peratus pada 2017 kepada RM67.71 bilion berbanding tahun sebelumnya. – BERNAMA