MILAN – AC Milan seri tanpa jaringan di Bologna dalam cuaca sejuk dan berkabus pada aksi Serie A Itali awal pagi tadi, sekali gus tidak menceriakan dua jurulatih yang berdepan tekanan Gennaro Gattuso dan Filippo Inzaghi.
Milan, yang disingkirkan daripada Liga Europa oleh Olympiakos Piraeus minggu lalu, terbabit dengan keputusan tanpa jaringan kedua berturut-turut dalam Serie A, manakala Bologna kekal di zon penyingkiran selepas meneruskan rentetan tidak menang mereka kepada sembilan aksi liga.
Berita baik buat pelawat, yang mana Tiemoue Bakayoko dibuang padang pada minit ke-76, mereka kekal di tangga keempat iaitu tempat terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara dan melonjak dua mata di depan pasukan tangga kelima Lazio.
Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain meneruskan aksi buruknya apabila mensia-siakan dua peluang pada babak pertama manakala penyerang Bologna, Rodrigo Palacio memaksa penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma melakukan tindakan penyelamat mengagumkan.
Milan beraksi 10 pemain apabila Bakayoko, yang dipinjamkan dari Chelsea, dilayangkan kad kuning pada minit ke-73 dan sekali lagi tiga minit kemudian kerana menolak Federico Santander.
Bologna, yang menghuni tangga ke-18 dengan 12 mata, mencipta beberapa peluang pada hujung perlawanan dengan pemain gantian Mattia Destro terlepas peluang terbaik apabila tandukannya tepat ke arah Donnarumma.
Gattuso dan Inzaghi adalah rakan sepasukan selama lebih 10 tahun di Milan namun aksi awal pagi tadi yang pertama mereka bertemu sebagai jurulatih. – Reuters/BH ONLINE