LONDON – Penyerang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Afrika BBC buat kali kedua, selepas cemerlang membantu kelab dan skuad kebangsaan sepanjang musim 2018.
“Ia satu perasaan yang cukup bagus apabila menang kali kedua. Saya gembira dan mahu menang sekali lagi pada tahun depan,” kata Salah.
Pemain berusia 26 tahun ini mengenepikan cabaran Medhi Benatia, Kalidou Koulibaly, Sadio Mane dan Thomas Partey – sekaligus muncul pemain kedua yang menang dua kali selepas Jay-Jay Okocha.
Yaya Toure pernah muncul selaku pemain tunggal yang merangkul gelaran berturut-turut, diikuti Nwankwo Kanu yang turut dinobatkan selaku penerima anugerah Personaliti Sukan Afrika.
Salah, meledak 44 gol dalam 52 perlawanan untuk Liverpool musim lalu selepas berpindah dari Roma, dan terus membantu kelab Merseyside itu mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara.
Prestasi baik Liverpool diteruskan pada musik ini dan jaringan tunggal Salah ketika berdepan Napoli berjaya memastikan Reds melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
“Banyak kenangan yang indah pada musim 2018,” katanya.
“Saya menjaringkan gol dan membantu pasukan meraih mata penting untuk berada di puncak liga. Ia satu perasaan yang cukup hebat,”
Salah juga meledak dua kali untuk Mesir di pentas Piala Dunia di Russia.
Pada awal tahun ini, Salah meraih dua anugerah di England – Pemain Terbaik Tahunan dan Pemain Pilihan Penulis Sukan Bolasepak Tahunan.
Salah juga muncul pemenang Pemain Terbaik Tahunan CAF 2017, dan kini berada di kelompok 10 calon akhir bagi musim 2018 yang akan diumumkan pada Januari 2019 – AFP