KOTA BHARU – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi cadangannya agar UMNO dibubarkan dan anggotanya menyertai PAS kerana parti itu tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik negara.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata ini merupakan masa terbaik untuk anggota UMNO keluar parti memandangkan kedudukan parti itu semakin goyah berikutan tindakan beberapa anggota Parlimennya keluar parti.
“Saya dahulu dah komen lepas Pilihan Raya Umum ke-14, saya cadangkan UMNO dibubarkan dan semua orang (anggota) UMNO masuk PAS sebab pada pandangan kita UMNO tak ada masa depan dari segi politiknya dan tempohnya sudah berakhir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Malam tadi, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengumumkan tugas-tugas presiden akan dijalankan oleh Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kemelut dalam parti berkenaan termasuk desakan agar beliau melepaskan jawatan.
Ahmad Zahid turut dipetik sebagai berkata beliau berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan mahu kepimpinan di peringkat akar umbi memberi fokus kepada memperkukuh parti.
Ditanya sebarang usaha oleh PAS untuk membawa anggota UMNO menyertai parti itu, Mohd Amar berkata:”Takkan kita nak beritahu pula usaha kita.”
“Memang kita berkawan dengan anggota UMNO (selama ini) dan memang kita ajak (mereka sertai PAS) untuk kepentingan Islam. Dulu pun kita minta UMNO bersama dengan kita demi kepentingan Islam jadi dalam keadaan sekarang macam ni lagilah sesuai kalau mereka tinggalkan UMNO dan masuk PAS,” katanya.
Mengulas mengenai desas-desus dua anggota Parlimen iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) dan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli bakal menubuhkan parti baharu berteraskan orang muda, Mohd Amar berkata jika benar, langkah itu akan memberi pilihan kepada orang muda.
“Macam kita berniagalah, ramai orang jual (kuih) putu halba, pembeli ramai, (tapi) laku juga. Yang penting kita jaga kualiti putu halba tu,” katanya. – BERNAMA