JOSE Mourinho mengakui dia tidak terkejut dengan kekalahan Manchester United pada aksi Liga Juara-Juara.
United tewas 2-1 di tangan Valencia yang menduduki tangga ke-15 La Liga sekali gus melepaskan peluang untuk muncul juara kumpulan.
Paul Pogba membuat penampilan semula tetapi gagal menyerlah.
Mourinho berkata dia tidak terkejut dengan perlawanan menyedihkan itu disebabkan barisan pemain yang dipilihnya.
“Saya tidak belajar apa saja dari perlawanan ini, apa yang berlaku tidak mengejutkan saya sama sekali. Saya tidak gembira,” katanya.
Kekalahan Juventus di tangan Young Boys bermaksud United berdepan laluan mudah untuk muncul juara kumpulan jika mereka menundukkan Valencia.
Namun Mourinho menyalahkan pemainnya kerana membiarkan dirinya dan juga penyokong United kecewa dengan corak permainan hambar mereka.
“Sebelum perlawanan itu saya beritahu pemain jika kita menang malam ini dan Juventus menang, kita sudah laksanakan tugas kita.
“Jika kita kalah dan Juventus juga kalah, jadi kita perlu salahkan diri sendiri,” katanya.
Mourinho terpaksa bergantung harap dengan Ashley Young, Jesse Lingard dan Marcus Rashford yang menjaringkan gol tunggal United pada minit ke-87.
Namun Mourinho berkata dia enggan menurunkan pemain yang sama ketika berdepan Liverpool Ahad ini.
“Akhirnya pasukan saya menunjukkan peningkatan ketika saya melakukan rombakan yang tidak ingin saya lakukan,” katanya. – Mirror.co.uk/mStar Online