PUTRAJAYA – Datuk Seri Mustafar Ali, yang bersara sebagai Ketua Pengarah Imigresen hari ini, akan mengetuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
Pada majlis amanat dan paluan berundur selaku Ketua Pengarah Imigresen di sini hari ini, Mustafar memaklumkan beliau menerima surat lantikan selaku Ketua Eksekutif NFCC daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hari ini.
“InsyaAllah, saya akan memulakan tugas baharu ini pada 2 Januari,” kata Mustafar, serta menambah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikannya amanah untuk melanjutkan tugas dalam perkhidmatan awam.
Mustafar berkhidmat kira-kira 30 tahun dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dipindahkan untuk mengetuai Jabatan Imigresen pada Ogos 2016.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata NFCC ditubuhkan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.
NFCC, yang disasarkan beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan (2019), digerakkan oleh beberapa agensi berkaitan seperti SPRM, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada sidang media selepas itu, Mustafar berkata beliau akan menggunakan pengalamannya di SPRM dan Jabatan Imigresen untuk menggerakkan NFCC seperti yang digariskan kerajaan.
“Amanah ini akan saya pikul sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mengubah lanskap baru pentadbiran negara,” katanya, sambil menambah buat sementara waktu, NFCC akan beroperasi di Kompleks D di sini.
Mengenai Jabatan Imigresen, Mustafar berharap pelbagai transformasi yang direncanakan sejak menerajuinya dapat diteruskan dan ditambah baik oleh penggantinya, termasuk impian menubuhkan Muzium Imigresen.
Mengenai penggantinya, Mustafar berkata perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri dan buat masa ini, jawatan itu dipangku Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Abdul Halim Abdul Rahman. – BERNAMA