KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pertuduhan terhadap Najib, 65, akan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi ini.
Turut akan didakwa pagi ini adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 41, membabitkan kes yang sama.
Pertuduhan terhadapnya akan dibacakan hadapan Hakim Rozina Ayob.
Arul Kanda ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10.30 pagi semalam dan bermalam di lokap SPRM.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.
Antara pengguguran maklumat itu membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB. – BH ONLINE