SEDAR… Datuk Seri Najib Tun Razak melawat anggota bomba yang cedera dibelasah dalam rusuhan kuil, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, di Institut Jantung Negara (IJN), sebentar tadi.
Bekas perdana menteri itu yang tiba kira-kira pukul 11 pagi bersama-sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta diiringi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman.
“Dia sedar… dia tahu saya datang dan hari ini merupakan hari yang baik apabila Muhammad Adib buat pertama kali menunjukkan isyarat ‘bagus’ dengan menggunakan jarinya,” ujar Najib sejurus selepas ziarah pesakit tersebut.
Sementara itu, Rosmah berkata sebagai ibu, beliau faham perasaan sedih ibu Muhammad Adib apabila tahu mangsa diserang perusuh dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor minggu lalu.
“Saya berdoa semoga Muhammad Adib semakin pulih dan sempat melangsungkan perkahwinannya seperti yang sudah dirancang pada bula ini,” katanya yang juga bekas presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional.
Najib dan Rosmah terdahulu mengambil peluang dengan luangkan masa selama lebih setengah jam menziarahi Muhammad Adib di samping memberikan sumbangan peribadi kepada keluarga anggota bomba tersebut.
Sementara itu, IJN dalam kenyataannya memaklumkan bahawa sejak Muhammad Adib menggunakan sistem Veno-Venous ECMO pada Ahad lalu, jantungnya telah dapat berfungsi sendiri dengan lebih baik.
“Paru-paru kirinya mula menunjukkan tanda-tanda penyembuhan awal, dan dia kini hanya memerlukan bantuan oksigen dan pernafasan yang lebih sedikit sejak malam tadi,” kata kenyataan IJN hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, buah pinggang Muhammad Adib masih perlu lagi menjalani rawatan dialisis walaupun organ tersebut didapati sudah bertambah baik.
“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru dan juga senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi kami.
“Keluarga Muhammad Adib telah membenarkan gambarnya diterbitkan dan mereka menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh warga Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatannya,” ujarnya. – Agensi/Mynewshub.TV