SEBAUH (BINTULU) – Peribahasa ‘cempedak dah jadi nangka’ sering diguna pakai untuk menggambarkan sesuatu yang telah berlaku tetapi tidak dapat diubah, namun peribahasa itu kurang sesuai digunakan di sekitar kawasan Sungai Serakit di sini kerana baka kacukan nangka cempedak atau ‘nangchem’ sememangnya wujud, hidup subur serta diusahakan secara besar-besaran.
Penduduk dari Rumah (Rh) Patrick Bana, rumah panjang 48 pintu yang dihuni lebih 300 orang di Sungai Serakit telah berjaya menanam nangchem di tanah seluas 48 hektar (120 ekar) serta boleh disifatkan sebagai paling berjaya di Sarawak.
Seorang pemilik kebun, Bana Japang, 79, berkata penanaman nangchem di kawasan tersebut merupakan kerjasama penduduk Rh Patrick Bana dengan Jabatan Pertanian Sarawak sejak tahun 2,000
“Benih nangchem dibekalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak. Buah ini memberi pendapatan yang boleh dikatakan lumayan kepada penduduk di kawasan ini, disebabkan itu rata-rata penghuni di rumah panjang 48 pintu ini telah menyertai skim ladang kontrak nangchem.
“Nangchem yang sudah masak kami jual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). FAMA beli pada harga RM2 sekilogram, ada juga nangchem yang kami jual terus kepada pelanggan di sekitar kawasan ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Bana, bekas tuai rumah ini berkata nanghcem sedap dengan rasa lemak dan manis kerana memiliki tekstur buah nangka dan cempedak.
“Nangchem tidak bermusim, sentiasa mengeluarkan hasil dan setiap kali tuaian kira-kira lima tan hasil dapat diperolehi. FAMA pula sangat membantu pekebun nangchem di sini, berapa tan hasil diperolehi mereka akan membelinya, tidak salah saya katakan tanam nangchem beri pulangan lebih lumayan berbanding harga terkini kelapa sawit,” katanya yang mengusahakan kebun tersebut bersama anak-anak dan pekerja.
Bana yang menanam lebih 100 pokok nangchem berkata kejayaan penanaman nangchem di kawasan tersebut, telah memberi peluang buat dirinya untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) beberapa tahun lalu untuk mempromosikan keunikan buah tersebut.
Seorang lagi pekebun, Antalai Sulau, 60, berkata tidak sukar untuk menanam nangchem kerana bentuk muka bumi serta tanah di kawasan tersebut amat bersesuaian.
“Nangchem pernah cuba ditanam di beberapa lagi kawasan sekitar, namun kurang menjadi. Mungkin disebabkan kawasan ini berbukit ianya hidup subur dan mengeluarkan hasil yang baik.
“Tidak sukar untuk tanam nangchem, tetapi perkara asas seperti membaja, meracun perlu juga dibuat, paling utama buah perlu dibungkus kerana kadangkala ada lalat buah yang boleh merosakkan nangchem,” katanya.
Antalai yang menanam sejumlah 60 pokok nangchem berkata buah yang masak dan sesuai dipetik dianggarkan seberat kira-kira lima kilogram hingga 15 kilogram.
“Ada beberapa varieti nangchem yang ditanam di sini seperti Nangcem CH28, Mas Gading dan Sri Gading. Nangchem yang sesuai untuk djual biasanya seberat kira-kira lima hingga 15 kilogram, saya pernah juga jual nangchem seberat 27 kilogram,” katanya yang mengusahakan kebun tersebut bersama isteri. – BERNAMA