LANGHORNE CREEK, Australia – Seorang wanita warga emas berumur 102 tahun melompat keluar dari sebuah pesawat pada ketinggian 4,267 meter untuk melakukan terjunan udara di sini baru-baru ini.
Irene O’Shea dari bandar Adelaide dekat sini kini dianggap sebagai penerjun udara paling tua dunia.
Dia melakukan aksi terjunan tandem iaitu berpasangan bersama jurulatihnya, Jed Smith. Mereka dikatakan jatuh pada kadar selaju 220 kilometer sejam.
Menurut laporan, ia merupakan terjunan udara kali ketiga oleh O’Shea sejak dia menjayakan aksi pertama pada tahun 2016.
O’Shea dilaporkan lahir pada 30 Mei 1916.
“Saya rasa normal, sama seperti terjunan sebelum ini,” katanya yang selamat mendarat di hadapan kira-kira 50 ahli keluarga dan rakan-rakan di sini.
Warga emas itu memberitahu, dia mempunyai rancangan untuk melakukan terjunan udara pada tahun depan dan sekali lagi pada usia 105 tahun. – Agensi/Kosmo Online