KUALA LUMPUR – Keadaan di lobi Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila berlaku perselisihan di antara pengawal keselamatan Parlimen dan sekumpulan mahasiswa yang hadir bagi menyerahkan memorandum berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Kekecohan berlaku apabila kumpulan 10 mahasiswa daripada Gabungan Pembebasan Akademik itu cuba mengadakan sidang media di lobi tetapi dihalang oleh pengawal keselamatan.
Keadaan kembali tenang apabila Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) dan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) hadir mendengar keluhan mereka dan bersetuju untuk menyampaikan mesej mereka kepada Maszlee.
Jurucakap kumpulan itu Sharan Raj berkata mereka gembira dengan pindaan AUKU yang dilakukan kerajaan semalam namun mereka mahu kerajaan memansuhkan sepenuhnya Seksyen 15 dan 16 akta berkenaan.
“Kita mahu kedua-dua seksyen tersebut juga dimansuhkan sepenuhnya kerana bagi kami seksyen terbabit masih lagi mengekang kebebasan mahasiswa. Contohnya Seksyen 16 masih membenarkan naib canselor membubarkan persatuan pelajar dan menghukum pelajar,” kata penuntut Universiti Tenaga Nasional itu kepada pemberita.
Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan dengan sebulat suara pindaan terhadap AUKU 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.
Pindaan tersebut membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada mereka dalam bersuara serta berpolitik. – BERNAMA