PETALING JAYA – Pas cemburu dengan kejayaan Pakatan Harapan (PH) sehingga melabel kerajaan baharu ketika ini hanya mampu bertahan lima tahun sahaja di Putrajaya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata dakwaan PAS kononnya tidak wujud persefahaman di kalangan komponen parti PH jelas menunjukkan sikap mereka yang akan kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.
“Itu biasa daripada PAS dan mereka akan jadi pembangkang selama-lamanya. Saya pernah berdoa dahulu agar (PH) tidak jadi pembangkang lama-lama, akhirnya Allah bagi laluan dan kita menang bentuk kerajaan. Jadi PAS iri hati. Dulu kita pernah runding tapi mereka tidak mahu kerana mereka dakwa perjuangan Islam.
“Tapi perjuangan kita lebih Islam dari mereka dari segi menguruskan ekonomi yang lebih baik, tolak rasuah, membina masa depan lebih cerah. Semuanya Islam. Jika andaian mereka kata kita cuma bertahan lima tahun, itu tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan beberapa organisasi media di ibu pejabat Bersatu di sini hari ini, sempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah berkata PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan bertahan cuma lima tahun sahaja di Putrajaya ekoran kurangnya persefahaman di dalam komponen parti.
Jelas Muhyiddin, andaian PAS itu tidak tepat melihat kepada apa yang berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional yang kini sudah berpecah dan hanya tinggal nama sahaja serta tidak bermaya.
“Kalau andaikan barisan (pembangkang) sedia ada, atau apa yang tinggal saki baki dengan PAS di luar sana, dengan PH sudah berkuasa dan perkukuhkan komponen, lalu kita bandingkan antara dua – PAS tidak mungkin akan menang dan kemungkinan PH pertahankan (Putrajaya) itu adalah lebih besar,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata berbanding PAS, PH akan terus berkuasa di Putrajaya melalui sokongan seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum lepas. – BERNAMA