KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat pertama kalinya meraikan seramai 20 pasangan pengantin warga PDRM dalam majlis raikan cinta raja sehari di sini hari ini.
Majlis berkenaan diadakan dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang hadir berkata majlis berkenaan melibatkan seorang pegawai polis, 16 anggota pangkat rendah dan tiga kakitangan awam.
Beliau berkata pada 16 Oktober, Bank Muamalat menyatakan hasrat untuk menaja majlis perkahwinan buat warga PDRM yang belum pernah mendirikan rumah tangga.
“Sejumlah RM100,000 telah diperuntukkan bagi membiayai majlis perkahwinan beramai-ramai ini, selain setiap pasangan pengantin juga dihadiahkan dengan pakej penginapan satu malam di Hotel Boulevard, Mid Valley, di sini.
“Pada majlis ini 20 pasangan diijab kabul pada sebelah pagi manakala majlis persandingan berlangsung di sebelah tengah hari,” katanya pada sidang media di Pulapol.
“Acara seumpama ini diraikan bagi menjimatkan perbelanjaan,” kata beliau.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid. – BERNAMA