ZHUZHOU, China – Seorang pekerja kilang tembikar nyaris maut selepas lengan, bahu serta dadanya tertusuk 10 pancang keluli akibat dihempap sebuah mesin yang tiba-tiba terjatuh di sini baru-baru ini.
Lelaki itu dikenali sebagai Zhou, 49, ditusuk 10 pancang keluli dari lengan robotik tersebut yang setiap satu daripadanya sepanjang 30 sentimeter dan 1.5 sentimeter lebar.
Empat daripada pancang tersebut menembusi tangan kanan mangsa, satu di bahu kanan, satu di dada dan empat lagi pada lengan kanan, lapor akhbar People’s Daily Online.
Kumpulan pakar bedah berjaya mengeluarkan semua pancang tersebut dan mangsa kini dilaporkan stabil. Pancang pada bahu mangsa dikatakan hanya 0.1 sentimeter dari pusat saraf utama badannya.
Mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Xiangya di bandar Changsha disebabkan kecederaannya yang serius.
Pihak hospital juga tidak dapat membuat imbasan X-ray kerana pancang tersebut terlalu panjang dan dibuat daripada besi. – Agensi/Kosmo Online