JOHOR BAHRU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan notis terhadap sebuah syarikat pembinaan atas kegagalan mengadakan tempat kerja selamat ekoran kematian seorang pekerja yang terjatuh dari tingkat tiga semasa mengendalikan jentera forklift di tapak pembinaan sebuah bangunan beli-belah di bandar raya ini, semalam.
Pengarah JKKP Johor Ir Dasuki Mohd Heak berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi ketika lelaki warga Pakistan berumur 50 tahun itu ditugaskan oleh penyelianya untuk mengendalikan forklift terbabit bagi melakukan kerja-kerja binaan di tingkat tiga.
“Mangsa dipercayai telah selesai memindahkan sebuah bekas air ke tempat yang diarahkan dan kemudian memandu forklift tersebut berdekatan kawasan south court, tingkat tiga itu.
“Forklift yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga melanggar pengadang dan menyebabkan mangsa yang berada di dalam forklift tersebut terjatuh dari tingkat tiga ke aras G,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan pekerja terbabit cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dasuki berkata siasatan awal mendapati mangsa bukan merupakan pengendali forklift terlatih dan tidak pernah mengikuti latihan pengendalian forklift dengan cara yang selamat.
Katanya susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP Johor mengarahkan semua aktiviti kerja di bangunan terbabit dihentikan dengan serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“JKKP Johor mengeluarkan satu notis ke atas kegagalan syarikat pembinaan itu mengadakan tempat kerja yang selamat dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja, orang awam mahupun harta benda. Semua penggiat industri pembinaan digesa agar mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya. – BERNAMA