PUTRAJAYA – Pelan Kemakmuran Bersama bukan agenda kaum, sebaliknya rangka strategik nasional untuk memastikan kesamarataan dalam perolehan pegangan ekonomi di Malaysia.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan agenda Bumiputera baharu itu perlu berpegang kepada prasyarat utama, iaitu mewujudkan kemakmuran negara yang dapat dikongsi secara adil dan saksama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, kelas serta wilayah.
Katanya, kejayaan dasar itu bergantung kepada faktor pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mapan, sekali gus memberi peluang setiap lapisan masyarakat berupaya menikmati kesan limpahannya.
āJika ekonomi tidak berkembang atau terencat, tiada apa yang boleh dikongsi oleh rakyat, justeru perebutan akan berlaku dan menyaksikan pelbagai percakaran.
āYang menang jadi arang, kalah jadi abu. Jika dasar ini menyekat peluang untuk kaum lain maju dan berjaya, ia juga bukan agenda Bumiputera.
āDalam semangat Malaysia baharu, kita mesti mengiktiraf pembabitan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama,ā katanya pada ucaptama sebelum sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kedua di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, usaha merangka agenda itu bakal membabitkan semua pihak menerusi rangkaian proses libat urus dengan badan ekonomi Melayu, dewan perniagaan semua kaum, pemain industri, ahli korporat, pakar ekonomi, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH).
Menyuarakan harapan pelan itu mendapat sokongan semua pihak, beliau berkata Melayu tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan atau parti politik kaum berkenaan selama-lamanya.
āAkan sampai masanya orang Melayu mesti berdikari, mampu bersaing dan inilah petunjuk sebenar kejayaan kita.
āBenar, bantuan kerajaan penting dan begitu juga parti politik Melayu, tetapi bukan selamanya kita kena bergantung kepada ātaliā ini.
āSaya yakin, kita dapat bina bangsa Melayu yang maju maju dan berdikari, mampu bersaing di dalam dan luar negara, sekali gus merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas serta wilayah,ā katanya.
Muhyiddin berkata, perubahan sikap Melayu dan Bumiputera yang selama ini bergantung kepada penyaluran bantuan akan menjadi komponen penting kejayaan pelaksanaan agenda berkenaan.
Katanya, penerapan nilai amanah, rajin, berdisiplin, berani, cekap dan pelbagai nilai murni perlu dilakukan dalam merintis usaha ke arah perubahan sikap dalam kalangan Melayu serta Bumiputera. – BH ONLINE