ALOR SETAR – Pelantikan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR adalah wajar dan selaras dengan sumbangannya kepada parti selama ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata parti dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak memandang sepi segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rafizi demi parti.
“Kita tidak boleh menidakkan sumbangan yang telah dilakukan oleh dia (Rafizi) antaranya sanggup menghabiskan wang dan tenaga untuk berkempen semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu walaupun dia tidak tercalon selain berjaya membongkar beberapa isu yang melibatkan kerajaan terdahulu.
“Saya lihat perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ada beberapa individu lain termasuk Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dilantik selepas mengambil kira sumbangan yang telah dilakukan kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama MPN Kedah di sini, hari ini.
Dalam mesyuarat tersebut, MPN Kedah sebulat suara setuju melantik Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ahmad Kasim dan bekas pengerusi PKR negeri Dr Azman Ismail sebagai penasihat, manakala Che Md Dzaher Ahmad dilantik menjadi Timbalan Pengerusi MPN negeri.
Sementara itu, Johari meminta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melupakan polimik berhubung pelantikan beberapa anggota majlis pimpinan pusat PKR oleh presiden parti.
Johari berkata, setiap anggota hendaklah bergerak ke depan bagi memberi fokus yang lebih dalam memastikan segala janji parti kepada rakyat dapat dilaksanakan.
“Pemilihan dah berlalu dan keputusan pun sudah ada… puas hati atau tidak dengan keputusan itu kita kena ‘move on’ kerana sekarang adalah masa untuk kita rapatkan saf pimpinan kerana masih jauh perjalanan yang perlu dilalui,” katanya.
Sebelum ini, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa pelantikan baharu dalam Majlis Pimpinan Pusat parti itu termasuk bagi jawatan naib presiden.
Mengenai isu lain, Johari berkata tidak timbul soal Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri selama satu penggal.
Johari berkata, semasa penubuhan Pakatan Harapan, semua setuju bahawa Tun Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri selama dua tahun sebelum diserahkan kepada Anwar. – BERNAMA