BELAGA – Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tanpa perlu didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan memudahkan kawal selia terhadap pasukan tersebut melibatkan perkara seperti bayaran elaun, pemberian geran dan perlindungan insurans kepada anggota.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata bagi perkara berkaitan elaun anggota Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki telah menyediakan semua perkara berkaitan untuk dibentangkan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“PBS akan dibekalkan dengan peralatan yang termampu oleh kerajaan dan anggota juga akan disediakan dengan elaun khas apabila mereka beroperasi mengikut kiraan jam. Jika ditubuhkan menerusi JBPM, pengurusan dan kawal selia akan lebih teratur iaitu dari segi geran, perlindungan insurans kepada anggota akan dapat dibuat dengan lebih sistematik.
“Menerusi kawal selia JBPM pengendalian PBS akan berjalan lebih baik khususnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika melawat PBS Uma Daro, Sungai Asap di sini.
Turut hadir Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman.
Sementara itu, seorang anggota PBS Uma Daro, Madang Lidam, 56, penduduk rumah panjang itu menyertai pasukan tersebut sebagai ‘fire cover’ sebelum anggota bomba dari balai berhampiran tiba memadam kebakaran.
Madang berkata pemberian jaket kalis api kepada PBS Uma Daro akan menambah semangat mereka untuk terus membantu masyarakat sekitar jika berdepan dengan musibah kebakaran.
“Anggota PBS Uma Daro diajar cara untuk mengendalikan alatan memadam kebakaran sama ada menggunakan hos bomba ataupun pemadam api. Kami menyertai pasukan ini untuk terlibat secara langsung membantu memadam kebakaran.
“Hari ini PBS Uma Daro terima peralatan seperti jaket kalis api, peralatan ini akan tambah keselamatan untuk kami kendalikan sebarang situasi kebakaran,” katanya yang menyertai pasukan itu sejak tahun lepas (2017). – BERNAMA