KOTA BHARU – Himpunan aman bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang berlangsung esok bakal menyaksikan penentangan rakyat baru sahaja bermula.
Justeru, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengajak semua rakyat hadir pada himpunan berkenaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, demi mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, jangan menganggap ceramah ‘grand finale’ malam tadi adalah kemuncak penolakan kepada ICERD, sebaliknya ia sebagai permulaan antara UMNO dan PAS.
“Penentangan terhadap ICERD baru sahaja bermula, bukan soal tandatangan atau tidak, sebaliknya membangkitkan kesedaran rakyat apabila soal agama diancam.
“Kita menentang ICERD kerana ia menjejaskan kedaulatan perlembagaan negara. Jika ICERD diratifikasi, paling berbahaya sekiranya ada pertikaian, mana-mana pihak layak cabar kerajaan dan merujuk negara kita kepada Mahkamah Antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bersama PAS pada majlis Ceramah Grand Finale Himpunan Aman Rakyat Membantah ICERD, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari
Annuar berkata, beliau tidak mahu kedaulatan yang dibina sekian lama dilepaskan dan itu jarum yang sangat diperlukan DAP.
“Apakan daya parti lain terlalu kecil dan tidak punya kekuatan termasuk PKR. UMNO dan PAS akan teruskan usaha untuk pertahankan perlembagaan negara dan kita akan berada di saf hadapan,” katanya. – BH ONLINE