KUALA LUMPUR – Industri minyak dan gas tidak menunjukkan petanda kelembapan aktiviti pengambilan pekerja secara dalam talian malah sektor itu mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun selama 19 bulan berturut-turut dengan meningkat 13 peratus pada Oktober 2018.
Menurut Indeks Pekerjaan Monster terkini, industri minyak dan gas turut merekodkan pertumbuhan positif lapan peratus bagi tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi Asia Pasifik dan Asia Barat, Abhijeet Mukherjee berkata industri itu mengalami kesukaran beberapa tahun lepas, dan pemulihan serta penstabilan harga minyak mentah kini membuka laluan bagi pelaburan baharu dan operasi.
“Menerusi penetapan semula amalan legasi dan sistem, syarikat minyak dan gas boleh memulakan transformasi ke arah organisasi yang cekap, fleksibel dan bergerak pantas.
“Berasaskan pembentukan semula aliran teknologi dan penerimagunaan inovasi baharu seperti analisis data, robot, dron serta keupayaan dipacu kepintaran buatan yang muncul dengan pesat, ia juga akan menyaksikan lebih banyak pekerjaan baharu ditawarkan dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukherjee berkata wujud permintaan bagi bakat beserta kemahiran khusus di samping pemahaman mengenai keteknikan minyak dan gas serta kebolehan menggunakan teknologi baharu.
“Bukan hanya pekerja perlu mempelbagaikan kemahiran mereka untuk memenuhi keperluan masa hadapan industri, malah penting juga bagi syarikat menunjukkan kepada pekerja bagaimana teknologi ini menyokong pelbagai laluan kerjaya dan akhirnya memastikan kemahiran mereka kekal relevan sebagai peralihan peranan,” katanya.
Walaupun industri minyak dan gas berprestasi baik dalam mewujudkan pekerjaan, namun sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans mencatatkan penurunan ketara dalam pengambilan pekerja secara dalam talian, susut 16 peratus.
Sektor berkenaan merekodkan penurunan ketara dan dua angka bagi lapan bulan berturut-turut.
“Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 11 peratus dalam aktiviti pengambilan pekerja secara dalam talian pada Oktober, menjadi bulan kelapan berturut-turut bagi pertumbuhan negatif,” katanya. – BERNAMA