KUCHING – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen hari ini membidas Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang yang gagal menjalankan tugas dan hanya tahu memberi alasan.
Merujuk kepada isu rumput yang tidak dipotong di Jalan Batu Kawah dan Jalan Lapangan Terbang, beliau berkata Lo yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Kitang daripada SUPP sepatutnya memberi respons positif terhadap aduan orang ramai.
Rumput di kawasan terbabit yang terletak bawah seliaan MPP terlalu tinggi sehingga menghalang penglihatan pengguna jalan raya dan diminta dipotong, namun Lo membalas mendakwa tiada dana disalurkan oleh kerajaan persekutuan untuk memotong rumput bagi bulan November dan Disember, katanya pada sidang media di sini.
Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata bagi menyelesaikan masalah itu, beliau mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM200 untuk mengupah orang memotong rumput di kawasan terbabit.
“Jadi saya tidak faham mengapa susah sangat untuk MPP mencari kontraktor jalankan kerja itu,” kata beliau.
Pada masa sama, Chong berkata beliau berasa lucu dengan telatah dua anggota SUPP yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau berhubung isu rumput tersebut.
“Apa kaitan saya dengan isu itu? MPP yang keluarkan kontrak untuk potong rumput, bukan saya,” katanya, menambah berdasarkan maklumat yang diterimanya aduan tersebut difailkan oleh seorang anggota jawatankuasa SUPP Batu Kawah dan seorang lagi individu yang telah diisytiharkan muflis serta pernah disiasat berhubung penyeludupan minyak masak pada 2010. – BERNAMA