KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengurus jabatan pengarang akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star, dihukum 30 tahun penjara dan denda RM100,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didapati bersalah menerima sogokan RM20,000 pada Mei tahun lepas.
Hakim Madihah Harullah menjatuhi hukuman itu terhadap M. Youganesparan, 54, setelah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu di luar keraguan munasabah.
Youganesparan dituduh menerima sogokan itu daripada Mohd Emir Mavani Abdullah, 54, sebagai dorongan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup satu kes terhadapnya.
Kesalahan itu dilakukan di Dome Cafe, Vista Power, The Intermark, Jalan Tun Razak, di sini pada 9.15 malam 30 Mei 2017.
Tuduhan mengikut Seksyen Section 16(a)(B) Akta SPRM 2009 itu, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 undang-undang sama, memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah sogokan, yang mana lebih tinggi.
Hakim bagaimanapun membenarkan pemohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu keputusan rayuannya, tetapi memerintahkan notis rayuan difailkan dengan serta-merta dan denda RM100,000 dibayar hari ini juga serta menambah ikat jamin terhadapnya daripada RM30,000 kepada RM40,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman meminta mahkamah mengenakan suatu hukuman sebagai pengajaran dengan berkata rasuah adalah kesalahan serius dan kini semakin berleluasa.
Ketika merayu agar hukuman itu diringankan, peguam G.Shankar, yang mewakili Youganesparan, berkata anak guamnya merupakan satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga berkenaan dan ini adalah kesalahan pertamanya. – BERNAMA