IPOH – Kerajaan Perak akan menubuhkan sebuah institusi khusus untuk membantu golongan wanita dan rentan dalam merencana agenda pembangunan golongan berkenaan, pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Wong May Ing berkata kewujudan institusi itu akan dapat membantu golongan tersebut dengan lebih spesifik.
“Sehingga kini, kerajaan negeri tidak mempunyai jabatan atau agensi yang boleh melaksanakan pelbagai program atau sebarang bentuk bantuan untuk golongan berkenaan.
“Jadi, penubuhan institusi ini akan memberi lebih fokus untuk kumpulan sasaran seterusnya dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka pada masa akan datang. Kami akan menentukan nama bagi institusi itu apabila ia siap sepenuhnya,” katanya.
Wong berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian geran bantuan yang berjumlah RM150,000 kepada 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan wanita dan kesihatan negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, Wong berkata beberapa program kesedaran untuk masyarakat di bawah seliaan portfolionya akan dilaksanakan tahun depan antaranya program khusus untuk golongan wanita pada Mac, program antidadah pada Jun dan program kesedaran tentang nasib golongan kurang upaya pada Disember.
“Kami juga sedang merancang memperluaskan lagi program saringan kesihatan khususnya melibatkan golongan wanita di kawasan luar bandar,” katanya. – BERNAMA