SIPITANG – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sentiasa komited untuk memastikan rakyat Sabah terus menerima manfaat daripada pengeluaran hasil khazanah minyak dan gas di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd Mohd Kamis A Manap berkata sebagai pemegang amanah khazanah minyak dan gas negara dan juga rakan kongsi negeri Sabah, Petronas akan memastikan rakyat dan negeri Sabah menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada hasil pengeluaran minyak dan gas di negeri ini.
“Komitmen Petronas dalam usaha melestarikan pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini dapat dilihat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR ) dalam bidang pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat, selain terus berusaha melaksanakan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kasih Petronas sempena Sambutan Hari Natal, di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi program bekenaan petronas dapat menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat, sekali gus dapat mengeratkan lagu hubungan antara masyarakat dan Petronas.
“Pada program ini kita menyumbangkan bantuan bahan asas masakan kepada lebih 100 keluarga yang terpilih di sekitar Sipitang yang bakal menyambut perayaan Krismas dan kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga berkenaan untuk menyambut sambutan hari Natal,” katanya. – BERNAMA