BANGKAI enam ekor anjing laut yang dipenggal kepala ditemukan di sebuah pantai popular di Pulau Selatan New Zealand.
Bangkai anjing laut berusia 11 bulan itu ditemukan pada Isnin oleh seorang pengendali pelancongan di Scenery Nook di Christchurch, kata Jabatan Pemuliharaan.
Kepala anjing laut terbabit tidak dijumpai dan Jabatan Pemuliharaan percaya anak-anak anjing laut itu dibunuh di tempat lain dan dibuang dari bot.
Ia menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang kejam dan tidak berhati perut.
Pengurus operasinya di Mahaanui, Andy Thompson berkata “kekejaman jenayah itu menyebabkan pihaknya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.”
Katanya Jabatan Pemuliharaan menolak kemungkinan serangan ikan jerung kerana “tidak mungkin jerung menyerang anjing laut dengan memutuskan kepala dan meninggalkan badan tidak disentuh.”
Tiga bangkai itu ditanam oleh renjer jabatan dan tiga lagi dibawa ke Universiti Massey untuk pemeriksaan.
Jabatan Pemuliharaan juga merayu saksi tampil memberi keterangan.
Di bawah Akta Perlindungan Haiwan Marin New Zealand, mengganggu dan mencederakan anjing laut itu merupakan satu jenayah.
Menurut Thompson, sebelum ini ada beberapa kes orang mencederakan atau membunuh anjing laut kerana kecewa dengan hasil tangkapan ikan mereka. – BBC