SYDNEY – Sebatang pokok melebihi 100 meter tinggi dan dipercayai antara yang tertinggi di dunia ditemui penyelidik di hutan Tasmania, di pulau selatan Australia pada Rabu.
Menurut agensi berita Xinhua, sebelum ini sebatang pokok kayu merah setinggi 115.55 meter ditemui di California.
Bagaimanapun, pokok kayu keras tertinggi dan kategori pokok berbunga paling tinggi dikenali Centurion ditemui di Tasmania, dengan ketinggian rasmi 100.5 meter.
Penyelidik dari Ekspedisi Pokok Gergasi (GTE) mengukur Centurion menggunakan teknologi laser yang dikatakan dapat memberikan ukuran lebih tepat.
Pada 2008, Centurion mula diukur oleh pendaki menggunakan pita ukur dan ketika itu ketinggian dicatatkan ialah 99.7 meter.
Pokok itu mempunyai jangka hayat kira-kira 500 tahun, jauh lebih muda dibandingkan dengan 3,000 pokok di hutan California.
Pokok abu itu tumbuh lebih cepat berbanding kayu merah dan mencapai 90 meter tinggi dalam tempoh 90 tahun, namun mati lebih cepat. – BERNAMA