KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur yakin penggunaan teknologi komputer berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh Pusat Kawalan Polis Bantuan (PB) YTL Corp mampu mengekang jenayah ragut dan samun di sekitar kawasan Bukit Bintang dan Sentul Raya di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata teknologi itu bukan sahaja membolehkan wajah penjenayah dikenal pasti dengan cepat tetapi juga mampu menganalisis persekitaran.
“Ia juga mempunyai sistem komunikasi berintegrasi yang membolehkan komunikasi masa sebenar di antara anggota bertugas dan Pusat Kawalan YTL,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pusat kawalan dan pelancaran PB YTL di sini hari ini.
Katanya Polis Diraja Malaysia juga meluluskan permohonan YTL Corp untuk mengambil 260 anggota PB syarikat itu yang akan diketuai oleh seorang timbalan penguasa polis.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan PB YTL diintegrasikan dalam Op Rentap untuk mencegah jenayah samun dan ragut pada masa depan memandangkan kawasan sekitar Bukit Bintang dan Dang Wangi merupakan ‘kawasan panas’ jenayah ragut dan samun.
Polis Bantuan YTL beroperasi secara berperingkat sejak 19 Sept lepas di sekitar Bukit Bintang dalam usaha pembanterasan jenayah di sekitar kawasan itu. – BERNAMA