POLIS Itali telah menahan seorang lelaki yang didakwa ketua baharu Mafia Sicily, bersama 45 ahli yang lain.
Serbuan pada waktu awal pagi di Palermo itu berhasil menahan Settimo Mineo, penjual barang kemas berusia 80 tahun. Dia dipilih sebagai ketua baharu La Cosa Nostra dalam mesyuarat pada Mei.
Media Itali menamakannya sebagai pengganti Toto Riina, yang meninggal dalam penjara setahun lalu.
Suspek Mafia tersebut didakwa terlibat dalam peras ugut, kesalahan berkaitan senjata api dan pelbagai jenayah lain.
Madia Sicily yang dikenali La Cosa Nostra itu berjaya membina semula kepimpinannya, dikenali sebagai Cupola, selepas tidak bertemu selama beberapa tahun, menurut laporan media.
Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini berkata tangkapan ini satu kejayaan luar biasa Carabinieri – polis elit Itali – yang berjaya meruntuhkan kepimpinan baharu Cosa Nostra.
Lapor media Itali, Cosa Nostra sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi tumpuan polis Itali dan menghadapi kesukaran membina kepimpinannya.
Mafia Sicily hampir lumpuh dengan ketiadaan Toto Riina yang dihukum penjara, tetapi mereka membina semula struktur kepimpinan tanpa mengikut arahan seorang “godfather.”
Riina dikenali dengan keganasannya terhadap pihak berkuasa. Pada 1992, dua pendakwa terkemuka, Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino mati dalam letupan kereta. Riina ditahan enam bulan selepas itu. – BBC