KUCHING – Polis telah mengenal pasti identiti tiga lelaki yang maut dalam insiden letupan gas di City One Megamall di sini, yang terdiri daripada dua dari Kuching dan seorang dari Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek berkata mereka dikenal pasti sebagai O Kui Lim 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, yang masing-masing berasal dari Kuching.
“Manakala seorang lagi, Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dua daripada lelaki yang maut itu dipercayai pekerja Nene Chicken, sebuat restoran dalam City One Megamall itu.
Mereka disahkan mati di tempat kejadian disebabkan terhempap struktur bangunan semasa letupan berlaku pada 3.30 petang tadi.
Dalam kejadian itu, 28 orang turut cedera, termasuk empat yang parah. – BERNAMA