PUTRAJAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Jan 2019.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata hari penamaan calon diadakan pada 12 Jan, manakala hari mengundi awal pada 22 Jan.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 25 Jan 2019,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di sini hari ini.
Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandungi 32,009 pemilih berdaftar terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, pengundi awal (247), pengundi tidak hadir luar negara (12).
“Bagi PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” katanya.
Pada PRK Cameron Highlands, Azhar berkata SPR buat pertama kalinya akan menyiarkan proses pengiraan undi di satu saluran terpilih secara langsung melalui media sosialnya bagi memberi pendedahan kepada umum.
“Ini juga dilakukan supaya proses pengiraan undi lebih telus. Kita buat percubaan di satu saluran sahaja kerana infrastruktur jalur lebar agak terhad di Cameron Highlands, tetapi di masa hadapan mungkin kita akan lebihkan lagi saluran terlibat,” katanya.
Katanya SPR juga akan menyiarkan kepada umum keputusan awal PRK iaitu keputusan yang tertakluk kepada pengesahan melalui laman sesawang SPR dan paparan skrin di pusat penjumlahan rasmi undi.
Selain itu, Azhar berkata bagi memudahkan seramai 385 golongan kurang upaya (OKU) yang telah dikenal pasti, mereka akan mengundi di saluran satu.
Bagi menjalankan proses PRK itu, katanya SPR bersetuju melantik Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis sebagai pegawai pengurus pilihan raya. – BERNAMA