PUTRAJAYA – Proses pemulihan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang sebelum ini menghadapi masalah tadbir urus dan ketirisan, kini 95 peratus selesai, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Katanya NAFAS akan mula beroperasi seperti biasa pada 15 Jan depan selepas digantung secara perlembagaan sejak 1 Jun lepas bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis membuat siasatan.
“Melalui pengalaman lalu dan isu-isu yang telah diselesaikan, mereka yang terlibat akan diambil tindakan oleh SPRM, manakala yang masih kekal pegang jawatan, saya berharap semua ini dapat menjadikan NAFAS lebih efisyen pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-45, di sini hari ini.
Salahuddin berkata mesyuarat agung NAFAS yang dihadiri hampir 500 perwakilan dari seluruh negara itu adalah bukti bahawa semua pihak terlibat telah memberi komitmen untuk menyelesaikan isu yang membelenggu pertubuhan itu.
Beliau juga berharap agar kepimpinan baharu di semua peringkat yang akan dilantik pada pemilihan NAFAS pada November tahun depan akan berintegriti dalam melaksanakan amanah.
Salahuddin berkata hanya kepimpinan berintegriti dapat menyelesaikan isu ketirisan dan tadbir urus yang dihadapi pertubuhan itu sebelum ini.
“Saya yakin pemilihan akan datang akan melahirkan kepimpinan yang berintegiriti dan kita akan pandu mereka dan beri segala bimbingan,” katanya.
Pada Jun lepas, Salahuddin dilaporkan sebagai berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan perintah penggantungan ke atas NAFAS susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018.
Katanya laporan tersebut mendapati NAFAS menghadapi masalah serius dalam tadbir urus terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan.
Dalam tempoh pergantungan, Pendaftar PP telah melantik pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta 109 untuk menguruskan hal ehwal NAFAS. – BERNAMA