PARIS – Dua penyanyi rap Perancis yang bermusuh mencetus reaksi lucu di media sosial selepas berikrar menyelesaikan pertikaian mereka dengan bertarung di gelanggang.
Ogos lalu, satu pergaduhan membabitkan penyokong Booba dan Kaaris di lapangan terbang Paris menyebabkan mereka dijatuhi hukuman penjara.
Namun, hukuman penjara tertunda 18 bulan dan denda itu nampaknya masih gagal meredakan persengketaan dua artis popular Perancis terbabit.
Kaaris dan Booba yang masih berbalas mesej ugutan dan cercaan di media sosial akhirnya nekad untuk mengakhiri persengketaan mereka dengan mengadakan pertarungan bebas dalam sangkar besi pada Tahun Baharu ini.
Difahamkan Kaaris, 38, mula mencabar Booba untuk bertarung dengannya tanpa pengadil.
“Kalau kau anak jantan, datanglah. Kau tahu mana nak cari aku,” cabar Kaaris.
Booba yang turut dikenali sebagai ‘Duke of Boulogne’ dengan pantas menerima cabaran itu.
“Aku menunggu detik dan saat itu sahabat. Tiada pengadil, tiada undang-undang, hanya kita dan sangkar besi,” katanya.
Ogos lalu, kedua-dua penyanyi rap itu ditahan selepas terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah kedai bebas cukai di lapangan terbang Paris.
Pendakwa berkata, Booba, 42, menendang Kaaris selepas musuh ketatnya bertindak kasar, sebelum pengikut kedua-dua penyanyi mula merusuh.
Kedua-duanya didenda dan dijatuhi hukuman penjara tertunda 18 bulan pada Oktober lalu. Kaaris sedang merayu kes berkenaan. – AFP/BH ONLINE