Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Malaysia-Singapura Harus Ada 3...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Singapura...

Penjawat Awam Johor Diharap...

ISKANDAR PUTERI - Penjawat awam di negeri ini diharap menjadikan komitmen kerja Perdana...

Penggantungan Tan Sri Muhyiddin...

KLUANG - Keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin...

Buat Aduan Di Pejabat...

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta orang...

Rasuah Langgar Integriti, Bunuh Nilai Murni Masyarakat

KUALA LUMPUR – “Integriti mampu mengekang amalan rasuah, malah dalam konteks yang lebih besar boleh menyelamatkan sebuah negara daripada musnah,” demikian tegas Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

​​​​​​Dalam menekankan hal ini beliau berkata ramai orang bercakap tentang keburukan rasuah tetapi sebahagian besarnya masih tidak faham akan kaitan integriti dengan gejala jenayah itu.

Beliau turut memberi contoh bagaimana rasuah yang berleluasa tanpa integriti mewujudkan pemimpin seperti Robert Mugabe yang membawa kehancuran kepada Zimbabwe.

“Negara yang pada asalnya bagus tetapi boleh jatuh teruk sehingga rakyatnya dikenali sebagai ‘starving billionaires’ kerana mempunyai wang yang banyak tetapi tidak bernilai hatta untuk membeli makanan mahupun membayar tambang bas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

KEJATUHAN ZIMBABWE, SOMALIA

Mengulas lanjut, beliau berkata Presiden Mugabe yang berkuasa selama 37 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1980 antaranya gagal mengekang gejala rasuah sehingga rakyatnya sengsara.

Dengan hutang negara yang kian bertambah, kejatuhan ekonomi serta matawang, semua rakyat bergelar ‘jutawan’ tetapi miskin serta hidup melarat.

Ditanya adakah tempoh pemerintahan yang panjang akan mendorong seseorang pemimpin terlibat rasuah, Anis menjawab “Ini bukan soal lama. Kalau dia amanah, jujur, buat pembangunan untuk rakyat dan negara atau kata mudahnya berintegriti, tempoh lama pun tak jadi masalah.

“Yang jadi isu, mana-mana pemimpin sekejap atau lama (memerintah) yang menyalahgunakan kedudukan atau kuasa mereka untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.

Selain Zimbabwe, beliau juga mengambil contoh Somalia yang seringkali berada di tangga tercorot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berikutan amalan rasuah yang bermaharajela di negara itu.

Situasi itu akhirnya mengakibatkan rakyat Somalia menjadi lanun ​​​​​termasuk pernah merampas kapal milik Malaysia di Teluk Aden dan menuntut wang tebusan kerana menganggap ia satu bentuk perniagaan yang menguntungkan dengan jumlah ‘pendapatan’ boleh mencecah jutaan dolar.

“Somalia negara Islam. Malangnya rasuah berlaku kerana sikap tamak dan rakus sesetengah rakyatnya yang tidak mendokong prinsip integriti sekaligus menjadikan rasuah sebagai amalan mereka,” katanya.

INTEGRITI DARI RUMAH

Anis berpendapat rasuah tidak terhad kepada wang ringgit kerana ia juga melibatkan ‘pelanggaran’ yang membawa kepada salah guna kuasa serta boleh memberi implikasi besar termasuk kepada negara seperti yang berlaku di Zimbabwe dan Somalia.

“Kecil atau besar jumlah rasuah bukanlah isu sebaliknya perlanggaran yang berlaku. Ada kos lepas yang terlibat kerana ada pihak yang menyalah guna kuasa serta kedudukan dan satu pihak lagi ‘memejam mata’ untuk terima habuan atau imbuhan yang bukan milik mereka.

“Contohnya kos yang sepatutnya disalurkan kepada negara diambil oleh pihak lain. Ini akan memberi implikasi kepada pembangunan infrastruktur sebagai contoh pembinaan sekolah, universiti dan hospital terjejas kerana kerajaan tidak menerima pendapatan melalui cukai kerana wujudnya amalan rasuah,” jelasnya.

Justeru Anis yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) berkata, pendidikan awal integriti perlu bermula dari rumah oleh ibu bapa kerana anak-anak mudah mengikut tindak tanduk ibu bapa mereka.

Integriti yang merangkumi nilai murni seperti amanah, jujur dan telus dalam menjalankan tugas, ibarat ‘perisai’ kepada setiap individu tidak kira penjawat awam, swasta atau sesiapa sahaja bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan rasuah.

“Perkara ini memang nampak kecil, tetapi penting untuk diberi perhatian. Di samping ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan juga perlu berganding bahu bagi memastikan integriti menjadi budaya dalam masyarakat.

Tidak menolak keberkesanan undang-undang dalam membendung rasuah, beliau bagaimanapun berkata keupayaan ‘menyentuh hati’ masyarakat perihal kepentingan integriti menjadi langkah pencegahan pertama kepada penolakan gejala itu.

TELUS BERKHIDMAT

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin yang menyifatkan jenayah rasuah ‘membunuh’ nilai dan norma murni dalam masyarakat berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemajuan dalam masyarakat ialah sikap terhadap gejala rasuah.

Masyarakat maju mempunyai nilai integriti dan daya saing yang tinggi selain kejayaan yang diperoleh adalah melalui usaha dan bukan ‘jalan pintas’ seperti rasuah.

Meskipun tidak ada negara yang bebas sepenuhnya daripada rasuah atau korupsi, Haidar yang juga bekas dekan Fakulti Undang-Undang UITM Shah Alam bagaimanapun berkata usaha dan amalan yang dipraktikkan dapat menghalang gejala yang disifatkan sebagai ‘ibu segala jenayah’ itu daripada merebak dan menjadi barah dalam masyarakat.

“Memetik Transparency International, negara seperti New Zealand dianggap terbaik dari aspek CPI kerana mengamalkan konsep ketelusan dan kebebasan manakala negara paling corot seperti Somalia bukan sahaja berhadapan isu kemiskinan serta kekurangan dalam masyarakat bahkan masalah keselamatan kerana jenayah yang berleluasa.

“Justeru, dua perkara yang perlu diberi penekanan ialah sistem nilai masyarakat dan sistem pentadbiran yang telus termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih efektif,” katanya.


Rasuah secara berleluasa, kata beliau akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat kerana kepentingan peribadi mengatasi kepentingan awam.

Keadaan itu juga akan menjejaskan mutu perkhidmatan apabila kerja tidak mencapai paras optimum serta bukan atas dasar amanah serta tanggungjawab kerana mengharapkan sogokan dan suapan.

“Ini akhirnya akan membawa kepada berlakunya ketirisan, lambakan fail, curi tulang, birokrasi dan lain-lain yang mengekang produktiviti,” katanya yang menambah ketelusan perlu menjadi prinsip masyarakat secara kolektif.

IKHLAS ATAU RASUAH

Bagaimana membezakan antara pemberian ikhlas atau rasuah yang adakalanya sukar ditafsirkan kerana bergantung kepada niat seseorang?

Menjawab persoalan itu, Haidar memberi beberapa faktor yang boleh dijadikan ‘kayu ukur’ antaranya tujuan, jenis pemberian dan nilai barang untuk diandaikan (untuk apa dan mengapa), sekaligus menentukan sama ada ia pemberian ikhlas, berniat baik atau sebaliknya.

“Pemberian ‘duit raya’ tanpa mengharap balasan bukanlah sogokan, suapan atau ertikata lain rasuah. Tetapi jika nilai wang yang diberi melangkaui munasabah, kemungkinan wujud unsur sogokan atau rasuah… tradisi ini mungkin disalahguna untuk mengaburi jenayah rasuah.

“Begitu juga dengan ‘door gift’ atau ‘goodies’ sesuatu majlis di mana pemberian oleh pihak penganjur lebih kepada menghargai kehadiran tetamu. Ini berbeza dengan pemberian barangan berharga dan berjenama oleh pihak penganjur yang tetamunya diundang khas serta terdiri daripada pegawai tertentu… Dalam hal ini niat penganjur boleh dipertikaikan,” jelas Haidar.

Tidak menolak dalam situasi tertentu wujud kesukaran untuk menentukan pemberian bersifat penghargaan atau sogokan, beliau berkata terdapat penganjuran majlis tertentu yang sebenarnya hanya dijadikan ‘alasan’ bagi menghalalkan sogokan dan suapan.

“Untuk itu, siasatan bagi menentukan jenayah rasuah perlu lebih sistematik dan terperinci serta dijalankan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam bidang penyiasatan bahkan teknologi dan sistem komputer.

“Tanggungjawab membanteras rasuah juga tidak terletak pada agensi tertentu dan tidak boleh bermusim. Pendekatan jangka panjang melibatkan pendidikan di sekolah mengenai keburukan gejala rasuah serta jangka pendek yang merangkumi penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan adalah antara yang boleh dipertimbangkan untuk membentuk masyarakat yang berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

KORUPSI ERA BARU

Haidar mengakui wujud kekangan seperti kekurangan sumber manusia untuk tujuan operasi, siasatan dan penyediaan kes yang dihadapi agensi penguatkuasa dan keadaan itu menyebabkan usaha membanteras gejala rasuah terbatas.

Beliau pada masa sama turut berpendapat rasuah dalam era teknologi maklumat dan data raya boleh berlaku melalui pelbagai cara dan medium sekaligus memerlukan kaedah membanteras yang lebih berkesan.

“Perbuatan rasuah mungkin tidak banyak berubah tetapi modus operandinya berubah mengikut perkembangan teknologi semasa. Contohnya, penggunaan media baharu termasuk media sosial dalam kalangan generasi muda boleh dijadikan medium untuk berlakunya korupsi… Ini memerlukan pendekatan yang lebih sesuai termasuk penglibatan lebih ramai pihak khususnya agensi penguatkuasa.

“Mungkin sudah sampai masanya Malaysia mempunyai sebuah agensi penguatkuasa bersepadu yang mampu menangani jenayah rasuah dan tidak terhad kepada bidang kuasa tertentu. SPRM sebagai contoh berhadapan kekangan dalam aspek pendakwaan.

“Di Indonesia, penubuhan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) yang mempunyai bidang kuasa siasatan dan pendakwaan memberi impak positif dalam usaha menangani rasuah. Kewujudan organisasi itu yang bebas untuk mengambil tindakan dapat membantu memulihkan imej Indonesia yang seringkali terpalit dengan rasuah membabitkan pegawai tinggi kerajaan,” jelasnya.

PENUBUHAN GIACC

Kerajaan pada 1 Jun lepas menubuhkan GIACC dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik sebagai ketua pengarahnya bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

GIACC akan bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui Perdana Menteri adalah untuk memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff – BERNAMA

Kategori