HIDAYAH… Penyandang pingat emas Sukan Asia 2018 bagi acara wushu, Lindwells Kwok memilih untuk masuk Islam setelah beberapa ketika atlet Indonesia itu kaji tentang agama tersebut.
Demikian pengakuan eksklusif yang dibuat oleh Ratu Wushu rantau Asia Tenggara berusia 27 tahun tersebut dan berasal dari Binjai, wilayah Sumatera Utara seperti yang dilaporkan oleh portal berita tempatan detik.com.
Bagaimanapun dalam satu rakaman video lain, beliau menegaskan bahawa keputusan dramatik untuk ‘pindah agama’ bukanlah dibuat atas sebab ingin menikahi buah hatinya, rakan atlet senegaranya, Achmad Hulaefi.
Namun kedua-duanya menegaskan waima saling beri peringatan bahawa tindakan wanita tersebut untuk memilih Islam haruslah didasarkan kepada keyakinan akan kebenarannya dan bukannya atas sebab-sebab duniawi lain.
Menurut mereka berdua yang diwawancara saluran Kumparan menerusi laman YouTube, perhubungan mereka juga tidak ada apa yang istimewa sehinggalah Lindwells kemudian memeluk Islam secara rasmi pada 9 Disember lalu.
Ketika itu barulah Achmad merasakan tanggungjawab untuk ambil sebagai pasangan hidup. Perkahwinan mereka diadakan sederhana demi zahir kehormatan kepada ahli keluarga Lindwells yang masih belum boleh terima hakikat.
Lindwells berkecimpung dalam arena sukan wushu sejak usia muda belia lagi. Pada umur 15 tahun beliau aktif di arena sukan wushu antarabangsa sebelum sambung belajar peringkat tinggi di Universiti Sumatera Utara di Medan.
Bagaimanapun, akibat masalah kecederaan lutut yang dideritainya sekian lama, beliau kini memilih untuk bersara baru-baru ini. Abangnya, Iwan Kwok ialah pegawai Persatuan Wushu Indonesia. – Agensi/Mynewshub.TV