KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US pagi ini susulan permintaan yang rendah ke atas nota tempatan, ketika wujud kebimbangan baharu mengenai kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menaikkan kadar faedah.
Pada 9.05 pagi, ringgit didagangkan pada 4.1790/1830 berbanding dolar daripada 4.1770/1810 pada penutupan semalam.
Ketua Pedagang OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata walaupun Fed telah memberi isyarat bahawa ia mungkin memperlahankan kadar peningkatan tahun depan, namun pedagang terus berhati-hati kerana ini bermakna ada kemungkinan kadar akan dinaikkan.
“Sebarang kenaikan oleh Rizab Persekutuan akan memberi impak negatif ke atas ringgit,” katanya.
Selain itu, Innes berkata pasaran ekuiti dunia masih kurang stabil, yang lebih memburukkan ringgit.
Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Nota tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0453/0493 daripada 3.0498/0543 pada Rabu dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7127/7172 daripada 3.7172/7217.
Unit tempatan juga tinggi berbanding pound British kepada 5.2747/2806 daripada 5.2852/2915 dan tinggi berbanding euro kepada 4.7565/7615 daripada 4.7568/7622. – BERNAMA