KUALA TERENGGANU – Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid tidak akan tunduk kepada sebarang desakan supaya beliau meletakkan jawatan untuk beri laluan kepada Pilihan Raya Kecil di kawasan parlimen itu selepas melompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.
Beliau berkata desakan itu hanya datang daripada ‘pihak yang kalah’ sedangkan ramai penyokongnya yang bersetuju dengan tindakannya keluar daripada UMNO untuk menyertai PPBM.
“Orang yang kalah jangan cakap banyak. Saya di Hulu Terengganu tiada masalah dengan rakyat, tindakan saya (keluar UMNO) disambut baik kerana ia adalah untuk membela rakyat.
“Saya juga masih berkhidmat seperti biasa, turun padang tinjau masalah rakyat. Lagi pula saya yakin kemenangan saya pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah atas dasar peribadi, adalah sikit faktor parti.
“Sebagai Anggota Parlimen pembangkang, sukar saya hendak bantu suarakan permasalahan rakyat di peringkat pusat dan di Terengganu pula diperintah PAS. Penyertaan saya dalam PPBM nanti Insyallah akan memberi lebih banyak kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu kali ke-17 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.
Pada 14 Disember lalu, Rosol dan lima lagi Anggota Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut, Perak), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing, Johor), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor, Pulau Pinang), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam, Selangor) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah, Kelantan).
Tiga hari selepas itu, Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu menyerahkan memorandum kepada UMNO Bahagian Hulu Terengganu mendesak Rosol supaya mengosongkan kerusi Parlimen itu.
Memorandum itu diserahkan Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat dalam satu perjumpaan khas UMNO Bahagian Hulu Terengganu bersama pemimpin parti di kawasan itu. – BERNAMA